Lebih manis, gol kemenangan Selangor itu dijaringkan sendiri oleh bekas pemain Negeri Sembilan, S Kunanlan pada penampilan sulungnya bersama skuad Red Giants.
Sebaliknya penyerang import Selangor, Francis Forkey Doe kelihatan kurang tajam apabila hanya satu percubaan tepat, itu pun mudah didakap kemas penjaga gol Negeri Sembilan, Hamsani Ahmad pada minit ketujuh.
Bersambung babak kedua, jurulatih Negeri Sembilan, Divaldo Alves mengeluarkan kaptennya, Rashid Mamud dengan memasukkan Norismaidham Ismail pada minit ke-52 untuk mengukuhkan bahagian tengah.
Manakala jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim pula memasukkan bekas penyerang Kelantan, Ramzul Zahini Adenan menggantikan S Veenod pada minit ke-55 bagi menajamkan jentera serangannya.
Hasilnya gol pertama Selangor diperolehi pada minit ke-68 apabila Kunanlan pantas menguis masuk bola hantaran Amri Yahyah dari sebelah kanan untuk pemain sayap kebangsaan itu membocori gawang bekas pasukannya.
Biarpun Selangor mendapat beberapa lagi peluang untuk menambah gol menerusi percubaan Amri dan Forkey Doe, kedudukan 1-0 itu kekal sehingga wisel penamat ditiup pengadil, Suhaizi Shukri.
Sumber :BERITA HARIAN 9 JANUARI 2013 (http://www.bharian.com.my/bharian/articles/RedGiantsmulalangkahkanan/Article/)